Sabtu, 19 Mac 2011

Proton Putra


DENGAN harga yang semakin murah, Putra kini boleh dimiliki oleh pelbagai golongan.


Walaupun pengendaliannya tidak semaju jentera Gti dan Neo, namun pada harga yang jauh lebih murah dan sporty, Putra adalah sebuah coupe yang harus dipertimbangkan untuk dimiliki.

INILAH satu-satunya kereta sports kelas sederhana yang dijual pada harga yang amat kompetitif sewaktu dilancarkan.

Ketika Proton masih bekerjasama erat dengan Mitsubishi, model Putra telah dilancarkan pada 1997 dengan menggunakan platform model Mitsubishi yang diberi nama Mirage Asti.

Berbeza dengan Mirage Asti yang hanya dibekalkan dengan enjin-enjin kecil 1.3, 1.5 DOHC dan 1.6 SOHC, pihak Proton telah mengambil keputusan menjadikan model ini sebagai model top of the range mereka.

Malah, sebelum kehadiran Satria Gti, inilah salah satu daripada kenderaan coupe tempatan yang menarik dan mampu dimiliki.

Dua tahun sebelumnya, Proton telah melancarkan Proton Wira edisi terhad dan dalam sejarah Proton, inilah yang benar-benar terhad.

Dengan tempat duduk Recaro, stereng dan tombol gear Momo, enjin 4G93 1.8 DOHC Efi serta kerangka yang paling kukuh dalam kategorinya, Putra menjadi ikon untuk kereta sports coupe pada masa itu.

Walaupun kini pengendaliannya tidak semaju yang dapat dibandingkan dengan kereta seperti Gti dan Neo, namun pada harga yang jauh lebih murah, ia adalah sebuah coupe yang harus dipertimbangkan untuk dimiliki.

Model tahun 1997 mungkin sama harganya dengan Civic EG tahun 1992. Cuma di atas kertas, coupe ini menang dalam banyak aspek.

Dilahirkan bagi memenuhi permintaan pasaran sebuah sport kelas sederhana, Putra diperkenalkan dua tahun selepas Proton Satria mendapat sambutan hangat di pasaran.

Kereta yang pada asalnya diambil daripada kerangka asas Mirage Asti telah dinaik taraf sepenuhnya dengan penggunaan kerangka C99, enjin 4G93P yang mampu menghasilkan 140ps dalam keadaan asal serta aksesori Momo dan Recaro.

Ia menjadikan kereta ini rangkaian ‘mewah’ daripada Proton pada harga jualan lebih RM70,000.

Berbeza dengan hatchback yang mempunyai ruang bagasi yang terhad, Putra menawarkan but yang hampir sama luasnya dengan sedan, cuma ia direka sebagai coupe untuk mendapatkan imej yang sporty.

Casis atau kerangka kereta ini merupakan salah satu faktor penting dalam menjadikan kereta ini memiliki pengendalian yang terbaik.

Okey, begini. Dua buah kereta yang sama, mungkin kelihatan sama pada hakikatnya, tetapi penggunaan enjin dan kuasa kuda berbeza menyebabkan pengeluar menaiktarafkan kerangka mereka.

Sebagai contoh, Honda Civic 2.0 dan Civic Type R, walaupun kedua-dua kereta ini nampak sama, namun hakikatnya, kerangka Civic Type R jauh lebih kukuh.

Pengukuhan ini lazimnya dibuat pada sistem suspensi, titik setiap tiang, kerangka tengah dan titik-titik weld-spot yang menerima beban yang tinggi.


PROTON Putra dibangunkan daripada platform Mitsubishi Mirage Asti.


Jika enjin K20A Type R digunakan pada Civic 2.0, hasil pengendaliannya tidak akan sama. Penggunaan casis yang kukuh ini amat penting dalam menampung kuasa enjin kerana jika tidak, badan kereta akan mudah meliut jika kereta diasak dengan keras di selekoh pada kadar yang kerap.

Kekukuhan casis itu jugalah menjadikan Putra amat digemari para pelumba tempatan untuk dijadikan kereta litar lumba. Selain daripada menggunakan enjin salinannya 1.8 turbo GSR Mitsubishi, enjin asal NA (Normally Aspirated) ini juga amat berpotensi untuk dimajukan.

Ia merupakan satu-satunya pencabar kategori sub 1800cc yang kebanyakannya didominasi oleh Civic berenjin VTEC pada eranya

Di sebalik prestasi menerusi enjin dan transmisi manualnya, Proton Putra juga merupakan satu-satunya model Proton 1.8 DOHC yang ditawarkan dengan model bertransmisi automatik. Walaupun automatik dikaitkan dengan kereta bukan prestasi pada eranya, ia masih menerima aksesori yang serupa dengan versi manual.

Jadi, selain daripada pasaran kereta sport, ia juga menambat hati pembeli ketika itu khasnya golongan yang tinggal di kota besar atau wanita muda.

Kembali ke zaman 2008. Kereta ini mungkin telah dilupakan. Namun dengan kadar susut nilainya, ia yang dahulunya hanya mampu dimiliki golongan kelas sederhana tinggi, kini boleh dibeli oleh sesiapa sahaja.

Walaupun pada hakikatnya model bertransmisi automatik dijual lebih mahal berbanding manual, namun pasaran kereta terpakai berbeza. Model automatik lebih murah berbanding versi manual. Model automatik boleh diperoleh pada harga serendah RM23,000 daripada pemilik asal.

Enjin 4G93 ini merupakan versi enjin moden yang digunakan pada model Visage di Jepun. Ia antara rangkaian enjin yang boleh diklasifikasikan baru dengan sistem suntikan dan Air-Flow Converter (AFS).

Ia juga generasi yang turut menggunakan sistem pelarasan tappet hidraulik. Kos penyenggaraan Putra ini agak rendah kerana masih berkongsi kebanyakan peralatannya dengan model Wira dan Gti.

Apakah yang dapat anda jangkakan pada sebuah kereta yang melebihi paras 10 tahun? Kelusuhan pada bahagian dalamannya adalah sesuatu yang rutin. Bukan disebabkan kereta ini buatan Malaysia. Ia adalah faktor cuaca tropika.

Kebiasaannya fabrik tempat sandar bahagian atas bagi kerusi belakang akan reput jika kereta kerap diletakkan di bawah sinaran matahari.

Fabrik hitam ini boleh digantikan di banyak premis moden dan harganya masih murah berbanding membaiki kulit Perdana V6.

Memandangkan tempat duduk hadapan kereta ini dipasangkan dengan kerusi Recaro N-Joy separa bucket, kemungkinan kelusuhan ketara mungkin berlaku pada bahagian sayap tepi kerana mobiliti keluar-masuk kereta.

Lebih-lebih lagi, jika pemandunya bersaiz besar. Stereng Momo juga tidak ketinggalan mengalami kelusuhan, khasnya jika pemandu yang suka memakai cincin.

Enjin kereta ini mudah dijaga. Begitu juga dengan kotak gear (auto atau manual). Jika pemilik sebelumnya menyelenggara kereta dengan betul, nescaya tiada masalah besar yang akan timbul, hatta kereta dengan perbatuan lebih 200,000.

Sistem suspensi dan breknya berkongsi dengan Wira LE, Satria Gti dan sebahagian Wira 1.6 dan 1.8 SOHC.

Seperti yang saya simpulkan, ia sebuah kereta berprestasi baik yang kini lebih murah. Malah, anda tidak akan mendapat segala-galanya dalam satu pakej seperti yang dimiliki Proton Putra.

Tiada ulasan: