USAHAWAN tempatan yang ingin mengembangkan perniagaan atas talian
(online) perlu meyakinkan pengguna dengan menyediakan maklumat telus
mengenai latar belakang perniagaan, sekali gus membantu mengembangkan
industri perniagaan online di negara ini.
Pakar Pemasaran Internet terkemuka Amerika Syarikat, Chris Randolph
berkata, ini kerana cabaran usahawan Internet adalah sukar untuk
mendapatkan kepercayaan daripada pengguna dalam talian berikutan ia
tidak membabitkan komunikasi bersemuka dan bergantung kepada keyakinan
pengguna menjual produk atau perkhidmatan.
“Justeru, usahawan perlu berusaha meyakinkan pengguna dengan
memberikan maklumat jelas mengenai perniagaan atau produk secara
terperinci dengan menggunakan segala kemudahan yang ada,” katanya ketika
ditemui pada seminar mengenai program kerjasama Rakan Niaga Harmony di
Kuala Lumpur.
Beliau berkata, pemasaran Internet semakin berkembang di negara ini
di dorong kadar penembusan Internet negara yang tinggi kira-kira 70
peratus dan mempunyai potensi luas kerana ia menjadi kaedah mudah untuk
mendapatkan wang dengan kos minimum.
“Namun, tanpa keyakinan pengguna, tidak mungkin sesuatu produk dapat
dijual. Oleh itu, usahawan perlu bijak dan telus seperti menyediakan
maklumat perniagaan tepat, jaminan produk, nombor telefon untuk
dihubungi selain mengadakan peluang bersemuka dengan pengguna dalam
membina perniagaan,” katanya.
Mengulas mengenai program Rakan Niaga Harmony, Chris berkata, ia
dibangunkan enam bulan lalu oleh sekumpulan pakar pengaturcara Internet
tempatan. Melalui program itu, rakan niaga yang berdaftar akan
ditawarkan 20 peratus komisen bagi setiap jualan produk kesihatan
Harmony dengan mempromosikan di laman sosial masing-masing seperti
Facebook dan Blog. – Harian Metro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan