Selasa, 28 Jun 2011

Harimau Melaya tanpa Apex?



PETALING JAYA – Ketika dua tonggak utama serangan negara, Norshahrul Idlan Talaha dan Abdul Hadi Yahya kian menunjukkan perkembangan positif untuk diturunkan berdepan Taiwan, kem Harimau Malaya menerima berita yang mendukacitakan mengenai penjaga gol No.1 negara, Khairul Fahmi Che Mat.

Kecederaan bahu yang dialami pada separuh masa kedua ketika berdepan Lebanon pada kelayakan Olimpik 2012, Khamis lalu di Stadium Nasional Bukit Jalil, masih belum pulih sepenuhnya dan dia mungkin terlepas peluang bagi menghadapi kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Taiwan, esok.

Pada sesi latihan semalam, Khairul Fahmi, yang lebih dikenali dengan panggilan Apek, hanya menjalani latihan ringan secara sendirian dan tidak mengikuti latihan penuh bersama rakan sepasukan sambil balutan ais melingkari bahunya.

Malah, Apek sendiri mengakui dia masih belum pasti akan diturunkan atau sebaliknya, tatkala jurulatih, Datuk K. Rajagobal dan ahli fisioterapi pasukan masih menilai situasinya sebelum membuat keputusan muktamad.

‘‘Otot di bahagian bahu saya masih berasa tegang dan sakit selepas perlawanan dengan Lebanon tempoh hari.

‘‘Walaupun makin berkurangan kesakitan yang dialami tetapi saya belum dapat menjalani latihan penuh.

‘‘Jika tidak dapat beraksi nanti, secara peribadi saya akui memang sedih kerana pertemuan dengan Taiwan nanti merupakan perlawanan yang cukup penting,” katanya di Wisma FAM, semalam.

Pun begitu, dia tetap yakin dengan kemampuan rakan sepasukannya, Sharbinee Allawee atau Nasril Nourdin untuk menggalas tempatnya mengawal gawang negara.

‘‘Mereka berdua pemain lebih berpengalaman daripada saya. Saya yakin mereka mampu beraksi baik dan tiada sebarang masalah untuk diturunkan,” katanya.

Dalam pada itu, Rajagobal berkata, peluang Apek untuk diturunkan pada perlawanan esok bergantung kepada laporan kecederaan yang akan dikemukakan oleh fisioterapi.

‘‘Kita masih ada sehari lagi untuk melihat keadaan Apek sebelum saya boleh membuat keputusan terakhir.

‘‘Begitu juga beberapa pemain lain seperti Norshahrul atau Abdul Hadi, kita masih ada masa melihat mereka benar-benar pulih,” jelasnya.

Sementara itu, Sharbinee yang dijangka menjadi pilihan utama menggantikan posisi Apek, berikrar memberikan komitmen 110 peratus jika jurulatih mengambil keputusan menurunkannya menentang Taiwan.

‘‘Mental saya sentiasa bersedia untuk bermain, malahan dalam soal keserasian dengan beberapa pemain baru, bukan satu masalah besar buat saya kerana sebenarnya telah lama bersama.

‘‘Saya berazam tidak akan melakukan sebarang kesilapan dan mempertahankan gawang negara daripada dibolosi oleh Taiwan,” jelasnya.

Tiada ulasan: